Apa Itu Hibah?

Apa Itu Hibah?

Hibah dalam bahasa mudahnya ialah pemberian sukarela, yang dibuat semasa hidup, diberikan sebagai tanda kasih sayang. Ianya adalah pemberian kepada seseorang yang lain tanpa balasan daripada penerima hibah. Ianya adalah salah satu instrumen dalam pengurusan harta pusaka Islam.

Menurut Ibn Rush (1996), Hibah ialah satu pemberian daripada pemberi kepada penerima yang dibuat atas dasar kasih sayang.

Dari Abu Hurairah r.a bahawa Rasulullah s.a.w bersabda: “Saling memberi hadiahlah kamu sekalian, agar kalian saling mencintai” (Hadis riwayat al-Bukhari).

Hibah terbahagi kepada 2 kategori:

1. Hibah Mutlak

2. Hibah Bersyarat ( Umra dan Ruqba)

HIBAH MUTLAK atau al-hibah al-munjizah ialah pemberian secara percuma yang berlaku semasa hidup tanpa disertakan sebarang syarat. Hibah dalam bentuk ini yang telah memenuhi rukun dan syaratnya akan memberi tiga kesan berikut (Nasrul Hisyam, 2011):

Mawhub akan berpindah milik kepada penerima hibah berkuatkuasa serta-merta

•Hak milik penerima hibah adalah kekal dan tidak dihadkan tempohnya

Hilangnya hak milik penghibah terhadap ‘ayn dan manfaat mawhub

HIBAH BERSYARAT ialah kontrak hibah yang mana penghibah meletakkan sesuatu syarat sampingan bersama-sama akad hibah bagi melaksanakan pemberiannya. Ada pelbagai jenis hibah bersyarat, namun di sini ialah:

1. Hibah ‘Umra: “(Rumah) ini untuk kamu sepanjang hayat kamu, apabila kamu mati ia kembali kepadaku” atau “(Rumah) ini untuk kamu sepanjang hayatku, apabila aku mati ia kembali kepada ahli warisku” (al-Kasani, 2003).

2. Hibah Ruqba “(Rumah) ini untuk kamu sepanjang hayat kamu, sekiranya kamu mati sebelumku ia kembali kepadaku, (namun) jika aku mati sebelum kamu maka ia menjadi milikmu” (Ibn Qudamah, t.t.).

Related Posts